Kedai bundle hidupkan pekan Benut

DERETAN kedai kayu lama di bahu jalan Simpang Empat Benut di sini, begitu sinonim dengan penjualan pelbagai barangan terpakai yang beroperasi dari jam 9 malam hingga 2 pagi setiap hari. 

Dari kasut, barangan elektrik, pakaian, pinggan mangkuk, aksesori wanita dan pelbagai lagi sentiasa menggamit perhatian pengunjung ke kawasan perniagaan itu yang sudah beroperasi lebih 20 tahun.


Keheningan malam tidak sedikit pun dirasakan peniaga yang sibuk melayan pelanggan mendapatkan barangan terpakai yang dibawa khas dari Singapura.

Meskipun banyak bangunan perniagaan komersial sudah dibuka, namun deretan kedai barangan lusuh masih terus utuh berdiri mewarnai suasana malam di Pekan Benut.

Peniaga, Alias C. Ani, 54, berkata, barangan terpakai masih mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Dia yang sudah berniaga selama 20 tahun di Simpang Empat Benut berkata, jika pandai memilih, barang terpakai yang dibeli memberikan pulangan yang berbaloi.

Jelasnya, tiada harga tetap yang diletakkan peniaga dan pembeli perlu membuat tawar menawar.



“Saya antara peniaga barang lusuh yang awal berniaga kat sini. Saya tengok orang ramai yang datang sini untuk beli dan lihat barang yang dijual semakin bertambah terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

“Hingga kini ada sekurang-kurangnya 10 peniaga jual barangan terpakai yang diambil terus dari Singapura,” katanya.

Ujarnya, permintaan barangan berjenama atau kulit menjadi pilihan utama pembeli yang sentiasa menantikan barangan tersebut yang boleh diperolehi dengan harga murah.

“Barangan antik pun ada jual kat sini, ada peminat barangan antik sanggup datang dari jauh untuk dapatkan barangan yang mereka cari.

“Pembeli perlu tengok keseluruhan barang yang terdapat di kedai terlebih dulu. Bukan sikit barang terpakai yang dijual di sini, boleh rambang mata,” katanya.

Perlu rajin cari pelanggan

Alias mengakui, dia kini berdepan cabaran untuk menarik lebih ramai pelanggan membeli barangan terpakai di kedainya memandangkan jumlah pengunjung semakin berkurang sejak tiga tahun lalu.

“Mungkin masih ramai yang tak tahu tentang Simpang Empat Benut, berbanding Pekan Rengit Batu Pahat yang dah ada nama sebagai pusat jualan barangan terpakai dari Singapura.

“Selain itu, pembeli terutama orang muda lebih gemar barang baru,” katanya.


Jelasnya, kaedah perniagaan moden melalui internet juga sudah diguna pakai bagi memudahkan orang ramai membeli barangan terpakai.

“Kaedah pemasaran perlu diubah. Dengan bantuan anak (Mohd Hakim 22), kami jual barang lusuh seperti perniagaan online lain.

“Malah kami juga buka cawangan kedai di Kuala Lumpur dan Kelantan sejak dua tahun lalu. Sambutan diterima sangat baik kerana barangan terpakai dari Singapura masih berkualiti,” katanya.

Dipanggil 'junk yard'

Pelbagai nama diberikan kepada kedai barangan lusuh di Simpang Empat Benut, antaranya 'junk yard' dan 'bundle'.

Walau apa jua nama yang diberikan, identiti kedai kayu dan barang yang diletakkan di bahu jalan menjadi keunikan kedai barangan lusuh di sini.

Bagi peniaga, Azmi Kasmadi, 28, yang sudah empat tahun menceburi perniagaan menjual barangan lusuh akui gembira dengan sambutan diberikan orang ramai yang melalui jalan Benut ke Simpang Renggam.

Katanya, dia percaya masih ramai pelanggan yang berminat untuk membeli barangan terpakai termasuk barangan elektrik yang boleh berfungsi dengan baik jika pandai memilih.

“Memang sesuai, lokasi Simpang Empat Benut kat sini digelar pusat pengumpulan barangan lusuh. Tak hairanlah sehingga digelar 'jangyat' yang mempunyai maksud barangan terpakai bagi penduduk tempatan.

“Kami sentiasa alu-alukan kehadiran orang ramai yang ingin dapatkan pelbagai barangan yang berkenan di hati dengan harga menarik. Kedai-kedai kat sini dibuka setiap hari,” katanya.




Sementara itu, pengunjung, Jamil Sulong, 50, berkata, dia kerap ke Simpang Empat Benut untuk mendapatkan pelbagai barangan terpakai yang baru tiba dari Singapura.

“Macam-macam ada kat sini. Jika pandai pilih, mungkin akan terjumpa barangan berjenama yang masih elok.

“Kasut terpakai jenama Lotto, Adidas dijual dengan harga RM20 ikut kualiti kasut. Memandangkan saya bekerja kebun, jadi kasut kerap rosak perlu diganti. Senang beli saja kasut terpakai kerana harganya sangat murah,” katanya.

Manakala bagi Jumat Jaafar, 56, dia akan berkunjung ke sini untuk mencari barangan terpakai yang masih elok untuk digunakan.







Comments

  1. Ada no utk hubungi tokey bundle ni x bro...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts